Showing posts with label bahasa. Show all posts
Showing posts with label bahasa. Show all posts

Wednesday, April 3, 2013

statik

Dan aku celik mata,
saat mentari datang menyapa,
namun urat tunjang terasa berat,
kaki mengigil lemah, tangan bagai terikat,

dan minda pun berkata;
"mungkin hari ni, aku kekal begini saja, statik"

-"hah pandailah statik ke spastik ke, dah malas pergi kelas tu, mengaku je lah!"
tengking kheyr pada khusyeir dalam ruang minda jasad yang sama.

Dissociative identity disorder.

-"Aku nak pergi masak shawerma instant-lah, lapar" kata khuir penuh semangat. Jasad pun bangkit dan melompat riang ke dapur.

Sunday, March 17, 2013

saat nanti

Saat kamu pergi nanti,
moga sempat aku riba kepalamu,
belai rambutmu,
tatap wajahmu,
cium dahimu,
dan katakan yang aku sayang kamu,
hingga kita ditemukan kembali berehat di pohon-pohon istanamu di syurga.

Dari saat ini, hingga saat nanti,
aku berjanji akan menjadi anak mu yang berbakti,
menceriakan detik hidupmu,
mencerahkan bilik penantianmu,
berusaha memudahkan lintasan titianmu.

Sungguh, tiada yang lebih berbakti pada roh dan jasadku,
selain kamu berdua.


**

Buat yang telah pergi, kita doakan semoga ditempatkan bersama orang-orang soleh dan dikasihi Allah. Satu peringatan untuk aku; hargai ibu ayah yang masih lagi hidup bersama kita.

Buat sahabat-sahabat, kuatkan jiwa.

Sunday, February 17, 2013

Nafas

Setiap nafas yang aku ambil,
aku berhutang.
Beribu ikatan yang aku tak mampu bayar semula
walau aku menghamba beribu abad.

Aliran teknologi organ, detik pam darah, reaksi kimia pelbagai struktur.
Mana mungkin aku balas.
Mana mungkin.


Tuesday, February 12, 2013

Cermin mata

Matamu cermin jasad;
Tarian matamu cermin rasa hatimu.
Buka tutup matamu cermin semangatmu.
Tafsiran matamu, cermin mindamu.

Selamat datang ke ophthalmology. 

Saturday, February 9, 2013

Rutin

Dan aku kembali ke dunia rutin,
dimana aku mampu berdilusi hidup dalam produktiviti.

walau aku lebih gemar hidup dihimpit jadual,
berbanding bernafas tanpa had tiada arah.
namun bila melangkah aku mula mual,
hingga perlu merangkak penuh resah.

destinasi makin hampir,
namun semangat aku belum juga hadir.

mungkin esok.

Friday, February 1, 2013

salji hitam

Angin mula bertiup luar dari biasa, merangkak perlahan masuk di celah-celah tingkap sambil memanggil manggil dengan suara halus. Bunyi angin bertukar kasar diselangi bunyi batu-batu ais kecil turun melantun di luar balkoni diselangi titis air sejuk yang turun ditarik angin timur.

Aku berjalan meniti batu-batu kecil mengelak takungan air hujan yang membentuk anak-anak nil, aku berjalan dengan penuh hati bagai melalui titian mustakim namun terjelepok kaki bermandikan lumpur salji hitam.

Ketika itu, hadir pemuda bersama kereta putihnya membuka pintu menjemput masuk. Untuk aku, itulah paling dekat dengan wira berbaju besi berkuda putih. Abdul Rahman; kebaikan seindah namanya.

Masih wujud kemanusiaan di dunia.

Monday, December 24, 2012

Realiti

Entahlah, aku pun dah tak tahu mana nak lari. Lari dari realiti yang kadangkala boleh tarik kita jauh ke jurang-jurang laut hitam kelam. Mujur ada orang-orang tersayang, menghulur tangan, tarik dari lemas, berkongsi haba, sama-sama elak dari hypothermia dunia.

Bila masuk ke pengakhiran kuliyah begini. Biasalah. Kaki rasa berat, hati rasa penat, otak pula tak pun makin likat. Ilmu dah cuba dilumat, cuba disumbat. tak jugak lekat. Hampa tahu?

Dan mulalah bila motivasi jatuh, mainkan lagu hobbit, pejam mata dan bayangkan berjalan di tepi sungai indah Hobitton. Hah, lari dari realiti memang kepakaran aku.

Tapi tak apa lah, melawat fantasi itu biar sebentar. Tak perlu lagi lari dari realiti. Larilah sejauh mana pun, dia tetap akan kejar. Sedar-sedar dah depan mata.

Berhenti lari dari realiti. Sekarang aku nak lari ke arah realiti!

Saturday, December 1, 2012

Bagi duit

Rasa-rasa lah kan, kalau tepi jalan ada budak laki baju comot tengah hisap rokok murah sebatang,
Kau bagi tak duit sikit bila dia minta?

Rasa-rasa lah kan, kalau tepi jalan ada mak cik obese tengah duduk atas tanah,
Kau bagi tak duit sikit bila dia minta?

Rasa-rasa lah kan, kalau tepi jalan ada akak jerit-jerit dekat kau sambil tarik baju dengan beg kau penuh tenaga,
Kau bagi tak duit sikit bila dia minta?

Semua nampak macam cukup makan, cukup sifat, cukup tenaga.
Kau bagi tak duit sikit bila dia minta?

Entah. Kalau ada fakkah sikit. Apa salahnya.
Rezeki milik Tuhan.

Wednesday, November 7, 2012

Selamat Berjaya

Jika kita berlari pecut,
Sampai dihujung usah berhenti kecut.
Walau mengah,
Walau payah.

Hampir di penamat
Itulah masa perah keringat.
Jangan dilayan akan penat.
Pukul hentam sampai lumat!

Selamat berjaya buat kamu.
Penamat makin hampir untukmu,
Inilah masa mu.
Buat terbaik, demi anak cucu.
Muncul sinar mentari, kamu sudah mulakan dunia baru.

Kejayaanmu sentiasa dalam doaku.
Selamat berjaya buat kamu.



Thursday, October 25, 2012

Cinta Psikatri

Aku dapat rasa setiap sentuhan jari,
Aku dapat rasa kehangatan cinta ini.
Aku percaya hatiku kau miliki, 
Aku percaya cinta kita kekal abadi.

Aku selalu mendengar suara panggilanmu, 
Aku selalu nampak kelibat jelinganmu. 
Aku tahu kau merindui, mencintaiku. 
Dan aku juga tahu kau malu, aku tahu.

Namun mengapa kau buat ku begini? 
Makin ku cari makin kau lari. 
Tengok mereka mula mencaci, 
Aku menangis termenung sendiri.

Mungkin benar, gila mereka kata akan ku, 
Benar, aku gila akan mu! 
Aku ingin milikimu, 
Aku ingin hidup mati denganmu!

Ah, kau tak mengerti, 
Aku sanggup hiris jari, diri! 
Ah, kau tak sedari,
Aku sanggup bakar diri!

Aku ingin selalu ada denganmu,
Aku ingin hidup tua bersamamu.
Aku ingin membina rumah denganmu,
Aku ingin membesarkan anak kita denganmu!

Namun kau tetap hilangkan diri,
Lesap dari segala pandangan sisi.
Kemana kau hilang duhai hati?
Tidakkah pada kita cinta hakiki?

Sanggup kau toreh cintaku, 
Kini berparut, tak seindah dulu.
Mengapa kau tak cincang saja jiwaku?
Agar kini tamat saja deritaku.

Kini hanya tinggal aku sendiri,
Kau hilang kemana pergi.

Aku rasakan semuanya realiti, mana mungkin ini halusinasi. 
Tak mungkin, tak mungkin ini hanya satu delusi.


*Mungkin ini apa pesakit yang punya delusi erotomania (delusion of someone being in love with him/her) dan sedikit halusinasi akan fikir dan rasa. Mungkin. Aku cuma letak kaki ku dalam kasut mereka.
**Kamu wujud, bukan delusi, kan?