Thursday, April 19, 2012

Tolak ansur dan makan diri

Gambar phagocytosis yang comel tanpa ada kaitan dengan autoimmune :D

Badan kita unik. Sistem immune kita rakus. Jadi badan perlu pintar. Semasa askar-askar pertahanan badan membesar di thymus dan tulang sum sum, mereka telah diajar untuk kenal mana satu antigen baik, mana satu antigen jahat. Mana yang perlu diserang, mana yang perlu dibiarkan. Jika mereka membuat pilihan salah, hukumannya berat, padah, maut. Ketat disiplin untuk jadi askar pertahanan badan manusia. Bukan kerja main-main, bukan kerja mudah.

Selain diajar untuk cari dan bunuh musuh durjana, mereka diajar untuk bertolak ansur. Mereka diajar untuk berbaik-baik dengan komuniti badan yang lain. Jangan tersalah serang, jangan tersalah bunuh, nanti yang lumpuh diri sendiri, bukan musuh.

Namun, institusi pembangunan askar-askar badan tidak sempurna. Tak semua askar yang berjuang mampu bertolak ansur. Tak semua askar kenal yang baik, kenal yang buruk. Masakan antigen baik dibunuh dicincang, dicaci ditindas. Apabila wujudnya askar yang gagal bertolak ansur, hilanglah harmoni komuniti badan, musnahlah kegemilangan kesihatan.

Ini kisah ringkas sistem badan yang sebenarnya rumit. Hilang sistem tolak ansur, wujudlah situasi makan diri. (Baca Tolerance and Autoimmunity).

Persoalannya di sini, adakah apabila hilangnya nilai tolak ansur dalam kehidupan duniawi manusia kini, akan lahirnya situasi makan diri? adakah apabila kita gagal tolak ansur dalam urusan seharian, akan musnahlah kesihatan komuniti warga insan, yang kini sudah semakin kronik sakitnya.

Badan kita unik. Hidup kita jugak unik. 

2 comments:

  1. Replies
    1. ko try tulis pasal normal delivery pulak, cam best je buat pasal tu. hehe

      Delete