Kita banyak belajar daripada pengalaman. Sesuatu yang kita lalui itulah yang menjadi salah satu aspek utama dalam pembentukan personaliti dan karakter diri kita.
Perkataan personaliti itu sendiri lahir dari perkataan latin; persona yang membawa maksud mask, topeng. Maka persoalannya di sini, adakah pengalaman yang kita lalui itu hanya berupaya menjadi topeng lambang persepsi masyarakat umum kepada kita atau dalam masa yang sama ia juga berupaya membentuk nilai peribadi dan karakter diri yang unggul?
Semuanya bergantung kepada diri kita dalam menilai pengalaman yang kita lalui. Maka perkara yang paling penting dalam pembentukan diri adalah keupayaan kita untuk menganalisa semula situasi yang telah kita lalui dan menjadikan ia sebagai satu sumber pengajaran dan refleksi diri.
Sebagai contoh, jika kita pernah dibuli dipukul dalam bas nak pergi sekolah agama suatu ketika dahulu. Adakah refleksi diri kita kepada pengalaman tersebut hanya dengan terkenang parut fizikal dan mental atau kita jadikan pengalaman tersebut sebagai satu nilai pengajaran bahawasanya kita mampu untuk lalui satu peringkat hidup yang sukar satu ketika dahulu, maka datanglah apa jua rintangan sekarang, kita yakin kita mampu laluinya.
Mari kita singkap semula peristiwa penting sepanjang 3 bulan lepas, secara ringkas. Sebagai satu sumber peringatan dan pengajaran untuk diri sendiri.
1. Kembara Andalusia
Di Hadapan Casa del Ray Moro, Ronda. Sebuah peninggalan Istana, Kubu dan sumber air bandar Kerajaan Islam Nazari yang berpusat di Granada. |
Mengembara di persekitaran baru sentiasa memberi pengalaman yang berharga buat diri. Jelajah mencari jejak peninggalan tamadun Islam di bumi Sepanyol banyak memberi inspirasi bahawa suatu masa dulu, kita mampu melangkah kehadapan, kita mampu membina sebuah empayar yang disegani dunia. Dari Istana indah Al-Hambra di Granada, hingga ke Masjid Cordoba, kami terpegun dan sedih dalam masa yang sama. Pengalaman 9 hari di wilayah Andalusia mengajar aku erti kekuatan dan kejatuhan. 700 tahun Islam subur di bumi Andalusia, namun kini tatkala solat di penjuru stesen metro di Madrid pasti akan wujud pandangan pelik, seperti sesuatu yang asing padahal Islam kuat bertapak dalam akar sejarah mereka. Kejar impian kecemerlangan berasaskan Islam. Sejarah membuktikan yang kita mampu melakukannya.
2. Kembali bersukan
Friendly match sebelum kejohanan ragbi se-Mesir di Iskandariyah - photo by Umaq Mj from Mumia Creative |
Satu benda yang perlu aku hargai adalah kesihatan. 9 bulan lepas, aku tak terfikir yang ada kemungkinan untuk masuk semula dalam padang, berlari sana sini, angkat itu ini. Kalau doktor Shah tahu apa yang aku buat sekarang ni, mahu kena ketuk kepala. Kalau relapse, jangan salahkan dia, salahkan diri sendiri. Walaupun situasi aku tersangatlah kecil kalau dibandingkan dengan semangat juang Lance Armstrong, namun aku harus ingat, walaupun kita perlu hadapi halangan sukar, ia bukan satu pengakhiran kepada sesuatu yang kita cintai.
3. Nilai perdebatan
Masih tersenyum walaupun kalah dengan margin 7-0 -photo by ayu |
Bagi aku, nilai seni perdebatan itu menjangkaui semangat juang bertikam lidah, berlawan fakta, berperang hujah. Nilai perdebatan itu terletak pada rakan-rakan seperjuangan kita, rakan-rakan yang memberi sokongan dan bantuan. Nilai perdebatan itu terletak pada kepercayaan kita kepada sahabat, keupayaan untuk bantu-membantu, keupayaan kita untuk menangani tekanan bersama. Itu nilai yang aku ingin simpan, semat dalam ruang-ruang memori. Terharu bila banyak sokongan hadir dari pelbagai penjuru. Terima kasih.
**
Tak mampu nak tulis panjang lebar, tak cukup masa lah konon. Mungkin nanti kita cerita satu demi satu, kalau ada peluang.
Good entry Kucai :)
ReplyDeleteAnd terharu bila dapat jadi salah satu di antara sokongan dari pelbagai penjuru yang mampu mengharukan anda! -___-"
Kbai. HAHA!
haha. mestilah terharu. ada orang tu pakai baju seluar tudung handphone merah :D
Delete