Friday, November 12, 2010

Monolog Jasad: Aku pejuang kebebasan

Semalam, mereka datang lagi. Seperti biasa, menuduh ku bersubahat dengan musuh durjana. Puas aku katakan aku menyokong cara perjuangan pembebasan mereka, aku sokong perjuangan agresif, aku sokong setiap keputusan yang dilaksanakan mereka. Tapi jika kata-kataku hanya dianggap sebagai kata-kata penipu, pembelot, pengkhianat. Apa boleh aku buat, aku akur.

Sejak penjajahan musuh yang berlaku, askar-askar putih mula memenuhi setiap ceruk negeri. Membasmi setiap gerak langkah musuh yang cukup licik menyerang dan memusnahkan infrastruktur-infrastruktur penting negeri. Tapi, obsesi mereka dalam menuduh setiap penduduk di sini sebagai mata-mata musuh, sebagai duri dalam daging, sebagai pengkhianat negara, cukup membuatkan aku menangis sendirian di malam hari. Habis keluargaku, sahabatku, jiranku, semuanya dituduh sebagai pengkhianat, semuanya hilang tanpa jejak. Aku pasti mereka dibunuh, aku pasti ini semua durjana askar putih, aku pasti mereka syahid penuh warna keberanian. Berani kerana benar.

Aku akui, sejak penjajahan, hidup makin sukar, ekonomi makin merundum, persekitaran makin menyakitkan. Siapa tak mahu kembali di masa kita tenang, bahagia, aman tanpa gagasan propaganda, tanpa serangan memusnahkan jiwa. Tapi jika dengan cara ini negeri kita dipertahankan, dengan cara menyalahi kami dan bukan diri mereka sendiri, dengan cara membunuh membabi buta tanpa memikirkan punca sebenar yang membangkitkan konflik. Aku sanggup berpaling tadah, aku sanggup membantu penjajah, dari mati tanpa perjuangan, tanpa sumbangan. Aku kasihkan tanah darah air mataku, aku kasih.

Kini nyawaku sudah di hujung tanduk, mereka akan menamatkan riwayatku bila-bila masa sahaja. Biarlah kisah ini bersemadi, tertulis buat perjuangan akan datang. Biar kisah ini menjadi sejarah, pedoman. Aku Kelenjar Gastrik, aku bantah perjuangan Auto-immune. Masanya sudah tiba. Gelap.

Monolog watak: Kelenjar Gastrik (Gastric gland)
Penyakit: Ulser Gastrik; jangkitan bakteria Helicobacter pylori 



No comments:

Post a Comment