Berjalan perlahan menyusuri lorong-lorong kecil, mencetus enigma, walau asing namun aku punya rasa selesa, seperti di sinilah di mana aku mahu habiskan sisa hidup jika masih bernyawa.
Lorong-lorong pintu mahligai kecil yang membentuk anak-anak sungai yang mungkin hanya pandangan harian buat penghuni merupakan sesuatu yang indah buat aku. Naik turun bukit kecil sepanjang jalan tidak langsung dicemari toksik pandangan, disirami bayu dingin menghembus muka meresap ke dalam liang-liang roma membuatkan aku berdilusi; inilah tanah air ku. Sebahagian dari ku tertanam di sini. Mungkin pokoknya sudah mati namun akarnya masih kekal di tanah, diselimut pandangan moden rakyat dan hanya disedari oleh penghuni sejarah, namun masih kuat mencengkam, hanya menanti masa untuk tumbuh semula.
Laluan lorong-lorong kecil itu tiada tamatnya jika kamu mahu, usah jalan ke arah cahaya terang di hadapan, teruskan ambil selekoh ke jalan baru, teruskan. Kamu pasti kekal dalam euphoria ketenangan yang tidak mungkin kau jumpa di tempat lain.
Namun sampai bila?
Aku berjalan ke arah jalan besar menuju destinasi sebenar. Cukup sudah bermimpi di lorong kecil. Cukup.
Toledo; Januari 2012.
*Ya, aku rindu andalucia.
No comments:
Post a Comment