Wednesday, September 30, 2009

Adakah saya memerlukan 'caffeine boost' untuk belajar?

Pendahuluan
Adalah menjadi kebiasaan sebagai pelajar, apabila tibanya musim peperiksaan, akan berlakunya tsunami dalam jadual harian di mana malam menjadi siang, makan malam di waktu sarapan, dan juga beberapa rutin harian yang lain. Tidak ketinggalan juga pelbagai usaha yang dilakukan untuk sentiasa kekal segar dan bertenaga. Bagi sesetengah pelajar, pasti ada yang pernah berniat untuk mengambil Ritalin, (ubat yang digunakan untuk merawat ADHD) atau ubat-ubat sintetik yang lain sebagai 'performance enhancer' bagi meningkatkan kualiti fokus dalam ulang kaji. Namun, akibat tidak mahu terlibat dengan sebarang kesan buruk pengambilan ubat seperti itu, kebanyakkan pelajar terutamanya pelajar universiti dan kolej ataupun individu yang sudah bekerja lebih suka mengaplikasikan kesan semulajadi bahan seperti kafein yang digunakan secara meluas dalam kandungan kopi, teh, dan juga air tenaga seperti Redbull dan Livita bagi meningkatkan fokus dan tenaga dalam bekerja. Walaupun begitu, adakah kita sedar bahawa pengambilan minuman yang mengandungi kafein mampu memberi impak yang besar terhadap sistem hormon dalam badan serta mampu menyebabkan perasaan tertekan?.

Sumber gambar: coffeeteablog

Kesan
selepas beberapa minit anda meminum secawan kopi, kesan kafein akan mula bertindak dan akan kekal dalam sistem badan sekurang-kurangnya selama 5 hingga 6 jam. Selain daripada mewujudkan perasaan gembira, fokus dan bertenaga, kafein sebenarnya mewujudkan satu gelombang hormon dalam sistem badan dan berupaya memberi kesan positif hanya dengan pengambilan dos yang sesuai berdasarkan sistem badan masing-masing. Namun, pengambilan yang berlebihan membawa kesan yang sebaliknya seperti mewujudkan perasaan tertekan, ketagihan, dan juga pergantungan terhadap kesan kafein.

Hormon
Dopamin; kandungan dopamin dalam badan yang meningkat disebabkan kesan kafein dan akan melahirkan perasaan 'euphoria' atau perasaan gembira dan bertenaga. Namun, apabila kesan itu mula hilang selepas 5 hingga 6 jam, anda akan mula rasa lemah dan tidak bersemangat (seperti anda putus cinta dengan kekasih hati).

Kortisol; kortisol merupakan hormon semulajadi yang terhasil bagi mengubah sistem badan menjadi lebih fokus semasa situasi kecemasan dan kondisi yang mengejutkan seperti di saat menjawab ujian di kala anda tidak sempat untuk mengulang kaji bab-bab pelajaran yang penting .Oleh itu, ia selalu dikaitkan dengan reaksi badan apabila tertekan. Selain itu, kafein juga berupaya mempengaruhi sistem badan untuk mengeluarkan hormon ini dan mengakibatkan reaksi negatif seperti peningkatan tekanan darah, diabetes, dan perubahan mood.

Adrenalin; adrenalin juga terhasil akibat manipulasi kafein terhadap sistem badan, ia merupakan hormon yang digelar hormon 'flight and fight' dimana ia berupaya mewujudkan keupayaan untuk fokus dan meningkatkan tenaga seperti situasi dimana anda dikejar anjing atau lembu. Namun, ia juga bertindak seperti dopamin, apabila kesannya mula hilang, anda akan mula rasa tertekan dan lemah.

Kesimpulan
Penggunaan kafein sebagai usaha untuk meningkatkan fokus dan tenaga hanya akan berkesan jika diambil dalam kuantiti yang bersesuaian dan tidak berlebihan. Oleh kerana kafein mampu menyebabkan badan menghasilkan reaksi seperti kita berada dalam situasi tertekan dengan penghasilan kortisol, ia wajar diberikan perhatian sebaik mungkin. Selain itu, kesan 'euphoria' daripada pengambilan kafein sedikit sebanyak menyababkan anda untuk minum lebih banyak minuman berunsur kafein apabila kesannya mula hilang dan keadaan ini akan meningkatkan kemungkinan pergantungan terhadap kesan kafein.

Oleh itu, 1-4 cawan kopi sudah cukup untuk memberi kesan yang sederhana dalam badan dan elakkan daripada mengambil minuman yang mengandungi kafein selepas waktu tengahari bagi mengelakkan anda daripada aktif tidak tentu hala di waktu malam. 



Ke arah peningkatan kuantiti artikel berinfomasi dalam Bahasa Malaysia.
Kushairi Zuradi,
Semester 4, Mansoura-Manchester.
Mansoura University, Egypt.
pollcode.com free polls
Adakah kafein membantu anda untuk belajar?
Sudah tentu!  Tidak sama sekali!  Kadang-kala, ya.    

No comments:

Post a Comment