Thursday, October 25, 2012

Cinta Psikatri

Aku dapat rasa setiap sentuhan jari,
Aku dapat rasa kehangatan cinta ini.
Aku percaya hatiku kau miliki, 
Aku percaya cinta kita kekal abadi.

Aku selalu mendengar suara panggilanmu, 
Aku selalu nampak kelibat jelinganmu. 
Aku tahu kau merindui, mencintaiku. 
Dan aku juga tahu kau malu, aku tahu.

Namun mengapa kau buat ku begini? 
Makin ku cari makin kau lari. 
Tengok mereka mula mencaci, 
Aku menangis termenung sendiri.

Mungkin benar, gila mereka kata akan ku, 
Benar, aku gila akan mu! 
Aku ingin milikimu, 
Aku ingin hidup mati denganmu!

Ah, kau tak mengerti, 
Aku sanggup hiris jari, diri! 
Ah, kau tak sedari,
Aku sanggup bakar diri!

Aku ingin selalu ada denganmu,
Aku ingin hidup tua bersamamu.
Aku ingin membina rumah denganmu,
Aku ingin membesarkan anak kita denganmu!

Namun kau tetap hilangkan diri,
Lesap dari segala pandangan sisi.
Kemana kau hilang duhai hati?
Tidakkah pada kita cinta hakiki?

Sanggup kau toreh cintaku, 
Kini berparut, tak seindah dulu.
Mengapa kau tak cincang saja jiwaku?
Agar kini tamat saja deritaku.

Kini hanya tinggal aku sendiri,
Kau hilang kemana pergi.

Aku rasakan semuanya realiti, mana mungkin ini halusinasi. 
Tak mungkin, tak mungkin ini hanya satu delusi.


*Mungkin ini apa pesakit yang punya delusi erotomania (delusion of someone being in love with him/her) dan sedikit halusinasi akan fikir dan rasa. Mungkin. Aku cuma letak kaki ku dalam kasut mereka.
**Kamu wujud, bukan delusi, kan?

Friday, October 19, 2012

Lagu hati

Benar hidup tidak seindah lagu,
Riang-ria menghidupkan kalbu.
Kadang-kala berkumandang teman pengganti,
Kehilanganmu amat ku kesali.

Kadang-kala ku rasa ini semua salahku,
Tanpa kudrat untuk beradu.
Kadang-kala aku resah hati,
Fikirkan yang aku seharusnya kuatkan hati.

Selamat jalan duhai sahabatku,
Perjalanan tetap berduri seperti dahulu.
Tegapkan jiwa tabahkan hati,
Tiba masa kita bersua lagi.


Wednesday, October 3, 2012

Kitalah Cyborg

Tulang kita keras, kuat. Namun boleh rapuh, patah. Jantung kita gagah. Tapi pasti akan mengalah, pecah. Tidak kira fizikal mahupun perasaan, hati kita berdaya, kalbu kita cahaya, mampu mengalas bebanan kimia dan juga persekitaran. Sebaliknya ia juga boleh putus asa, putus harapan. 

Badan kita dibina berasaskan keunikan. Sistem jantung akan berhenti, organ hati akan rosak. Tetapi ia hanya akan berlaku jika terdapat satu penghinaan kimia mahupun trauma yang dahsyat kepada badan. Contoh, cuba bunuh diri dengan menelan 40 biji paracetamol setelah ditinggalkan cinta? itu benar benar satu penghinaan, hina hati untuk proses menyah toksik. Hina Tuhan kerana menyangka diri tak disayangi-Nya.

Jika menjauhi sebarang bentuk pencelaan. Badan mampu merawat diri tanpa kita sedar. Melawan virus dan bakteria. Merawat luka hirisan pisau. Menghadam makanan sambil menyimpan nutrien penting dan tinggalkan yang lain. Meletakkan had air dalam badan, had gula dalam darah, had hormon untuk dikeluarkan. Siapa kata cyborg tidak wujud, kitalah cyborg, merawat diri yang luka, membela nasib tercela.

Itu apa yang aku belajar dalam rotasi tulang. Aku perhatikan, sakit itu tiada siapa mampu rawat selain Tuhan. Apa yang kita mampu buat adalah memanipulasi badan untuk merawat diri berasaskan sistem dan skematik ciptaan-Nya. Kita tak mampu untuk jahit tulang bila patah, kita hanya kekalkan tempat anatomi asal dan harapkan tulang bergabung semula. Benar ada ubatan kimia yang mampu mengubah hala tuju penyakit, namun ia hadir dengan harga komplikasi yang berbagai. Terbukti kini cara terbaik merawat badan adalah dengan membantu diri kita merawat diri sendiri.


Buku pasti akan habis, dakwat akan hilang, jam akan berhenti, air akan kering, panas akan redup, cahaya akan malap, empayar runtuh. Dunia pasti akan berubah, dan terus berubah. Situasi dalam badan juga tak pernah statik, ada sel mati, ada sel baru, ada sel dibunuh badan, dan ada juga sel membunuh badan.

Badan kita istimewa. Panjatkan syukur kadang-kala kita leka. Tidak ingat pada koordinasi teratur tanpa cacat, hasil inovasi Yang Maha Esa. Tuhan Pencipta Sekalian Alam. Allahu Rabbi. 

Wad Orthopedik penuh dan terpaksa menempatkan pesakit di koridor. Pakcik baju kelabu tu patah tulang kaki -nya dan ada besi yang diletak di sekeliling kaki untuk tetapkan kaki di kedudukan anatomi.